Saturday, March 10, 2012

PEMUDA PAS GERAKAN ISLAM (artikel)

Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah sebuah gerakan Islam yang melaksanakan aktiviti?amal Islami?ke arah mencapai cita-cita perjuangan Islam iaitu meninggikan kalimah Allah Taala sehingga ia mampu mengatasi ideologi ciptaan manusia. Penyertaan PAS dalam medan siasah (politik) adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah Taala di atas muka bumi ini. Manakala siasah PAS adalah siasah Islamiyyah yang mesti dikayakan dengan adab, akhlak dan prinsip Islami yang dipandu oleh wahyu dan sunnah RasuliLlah S.A.W. Semua pemimpin dan anggotanya terikat dengan tatacara yang telah dimaktubkan, maka pelanggaran terhadap prinsip-prinsip tersebut dianggap satu kesalahan yang tidak wajar dilakukan oleh pemimpin dan anggota PAS.


Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik. Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami, PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah (pemikiran), syakhsiah (peribadi) dan ruhiyyah (spiritual) masyarakat. Justeru itu, kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah. Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerak kerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan.


Tidak hanya menumpukan isu-isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerak kerja dan aktiviti amal Islami yang lain seperti pemantapan aqidah dan fikrah.

Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan. Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam. Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang mengabaikan solat berjamaah, menjauhkan diri dari majlis-majlis ilmu, tidak lagi melazimi usrah. Ucapannya pula tiada lagi hikmah, sebaliknya kasar dan keras. Tindakannya gelojoh, egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai. Gemar bertelingkah dan suka memfitnah. Melakukan dosa tanpa sedar ia berdepan murka dan kutukan Allah Taala.

Sebagai contoh mudah, apabila jamaah dan anggotanya dilanda badai dan kemelut, tiada lagi usaha untuk bermunajat dan solat hajat agar keadaan tenang dan terkawal. Sebaliknya berlumba-lumba menyalakan lagi isu yang sedia membara di dalam sidang media dan sebagainya.

Saban waktu dan ketika, fikiran aktivis-aktivis gerakan hanya disibukkan merancang?"Bagaimana nak jatuhkan si fulan dan si fulan (saingan politiknya)", kerana ia tidak sama pendapat.


Atau ada juga yang memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi,?"Demi kebaikan jamaah...",?"Demi masa depan jamaah..."?sebagai melindungi perkataan sebenar,?"Demi kebaikan aku..."?atau?"Demi masa depan politik aku...". Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak.?

Hitungan seharian dalam dunia politik hari ini ialah bagaimana mahu menang! Bagaimana mahu dapat undi Melayu dan non-Malay! Tetapi malang, sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka, bagaimana hendak mempertahankan Islam dan memenangkan Islam. Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap deras tentang Islam, kerana nanti kita kurang popular dan non-Muslim menjauhi kita.

Sebagai anggota gerakan Islam, kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam. Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani seluruh umat tanpa mengira bangsa, justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia. Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam. Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam.?



Jangan hanya kita berbangga dengan ilmu dan akhlak pemimpin kita seperti Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, sedang kita tidak berusaha untuk menjadi seperti mereka atau lebih baik dari mereka.?Bangga meriwayatkan kesederhanaan dua orang tokoh pemimpin kita, tetapi kita hidup tenggelam dalam kemewahan yang keterlaluan. Bangga dengan tawadhu' dan wara'nya mereka tetapi kita gopoh, liar dan tidak cermat. Bangga dengan karisma dan kewibawaan 2 orang tokoh tok guru ini, sementara kita sendiri sering culas dan "nakal".

Binalah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita membinanya. Pagarilah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita memagarinya.


Kalau kita tidak mampu menjadi seperti mereka berdua, ambillah contoh dan ikutlah qudwah mereka bukan menjatuh dan melemahkan mereka serta melaga-lagakan mereka!?Berjuang biarlah dapat pahala, jangan berjuang untuk menambah dosa. Berjuang biarlah ramai sahabat, jangan berjuang meramaikan musuh. Berjuang biarlah tenang, jangan berjuang menambah serabut. Berjuang biarlah damai, jangan berjuang untuk bergaduh.?


Berjuanglah, jangan tidak berjuang.

Perkasakan amal tarbawi agar ia menjadi tunjang kekuatan dan keutuhannya mendepani cabaran dan menyerap tekanan. Tanpa amal tarbawi atau perlaksanaan amal tarbawi yang lemah serta tidak konsisten, ia nanti bakal mengundang 1001 masalah dalaman yang mencetus konflik atau krisis. Besar kemungkinan segala konflik dan krisis dalaman itu berlarutan dan sukar pula diatasi ekoran dari lemahnya perlaksanaan amal tarbawi. Fahamilah kita berjamaah untuk Islam bahkan kita menyertai PAS adalah untuk mendaulatkan Islam. Bukan membina empayar individu, jauh sekali memburu kekayaan material. Lantaran itu, tidak sukar untuk kita memahami apa yang saya bangkitkan di sini.?Jangan tukar PAS dari sebuah "gerakan Islam" kepada PAS hanya sebuah "parti politik".

Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment